Friday, August 30, 2013

Tatkala tanganNya menggenggam tanganku

Petang itu. Bunyi televisyen mengisi suasana rumah. Rancangan yang diminati ditonton oleh ku. Kakak ku sibuk dengan komputer ribanya. Tenang rasanya petang itu. Bersenang rehat sambil minum kopi yang masih panas.

Jam menunjukkan hampir ke jam 6 petang. Telefon rumah berdering. Kakak ku segera menjawab. Suara pemanggil kedengaran. Namun samar pada pendengaranku.

Selesai bercakap. Kakak ku sambil tangannya menggapai kunci kereta serta telefon bimbitnya memberitahu ku bapaku kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumah dan kakak ku meminta ku mencari ibu ku yang berada di rumah jiran untuk memberitahunya perihal itu.

Aku panik. Tidak keruan.

Perumahan teres yang mempunyai dua blok sahaja membolehkan aku mencari ibu ku dengan mudah. Kedengaran suaranya berbual dengan jiran. Aku segera menuju kearah suaranya. Sebaik melihat ibu ku aku terus memaklumkan ibu ku. Kami segera kembali ke rumah. Ibu ku sudah tidak senang duduk. Lilin di altar rumah dinyalakan. Satu doa memohon keselamatan dan penyelamatan dilafazkan berulangkali.

Telefon berbunyi sekali lagi. Segeraku menjawab. Kakak ku di hujung talian. Memesanku untuk menyediakan kamera. Dia akan sampai ke rumah sebentar lagi. Aku menurut sahaja tidak mengetahui mengapa.

5 ke 8 minit kemudian kakak ku sampai. Segera aku dan ibu ku masuk ke perut kereta. Destinasi yang pasti adalah tempat bapa ku kemalangan.

Sesampainya di sana hari semakin gelap. Kawasan kemalangan dikerumuni manusia. Aku tidak melihat bapa ku. Ini membuatku semakin resah.

Ibuku melemah. Segera aku merangkul tangan dan pinggangnya. Mengiringinya mencari bapa ku. Kakak ku hilang di celah ramainya orang membawa kamera bersama.

Aku melihat dua orang lelaki berpakaian polis menjalankan siasatan. Wartawan akhbar yang berbangsa cina juga hadir sedang mengambil kenyataan dari mereka yang menjadi saksi sambil mengambil gambar keadaan kereta dari pelbagai sudut.

Semakin kami mendekat aku terlihat kelibat bapa ku di tengah-tengah kerumunan orang. Sedang mengambil gambar menggunakan telefon bimbit Nokia lama nya. Aku melihat bapa ku dalam keadaan baik-baik sahaja. Tiada tempang, tiada luka, tiada darah. Aku bersyukur.

Sebaik sahaja mataku melihat keadaan kereta yang dipandu bapaku tubuhku terasa bergegar kuat. Lututku melemah. Namun aku harus kuat demi menyokong tubuh ibuku terasa sudah lemah tidak mampu berdiri. Sambil menahan sebak aku mengajak ibu ku kearah bapa ku. Menemukan mereka berdua. Ibu ku mula mengalirkan air mata. Melihat keadaan kereta yang dipandu bapaku. Perodua Kembara milik syarikat bapa ku bekerja.

*Kembara itu rebah ke jalan diantara persimpangan empat laluan ke lapangan terbang. Cermin sebelah pemandu pecah. Cermin sisi patah. Bapa ku memanjat keluar dari kereta melalui pintu sebelah pemandu tanpa sebarang kecederaan.

Kereta yang melanggarnya, Myvi berwarna merah tersasar dari jalan dan melanggar lampu trafik. Keadaannya teruk sekali. Bahagian depan kereta merah itu langsung hancur mujur tidak terbakar. Pemandu kereta merah tersebut kelihatan marah-marah sedangkan yang bersalah adalah dia sendiri. Namun aku faham mengapa. Penumpangnya adalah isterinya sendiri yang sedang mengandung entah berapa bulan.

Syukur tiada kemalangan jiwa.

Malam itu kami semua tidak seceria seperti biasanya. Hambatan kejutan menerima berita petang tadi masih terkesan di hati masing-masing. Kerisauan keatas bapaku masih menyelubungi jiwa. Doa syukur bergema di hati masing-masing. Tidur tidak lena. Namun dalam kegelisahan tersebut akhirnya semua melenakan diri dengan harapan perkara sebegini tidak terjadi lagi.

Syukur kepada yang Maha Kuasa atas lindungan yang diberi kepada bapaku ucapku dalam lena.

******************************************************************

Aku berada disuatu tempat. Melihat ke kananku, aku melihat bapaku. Dia memegang tanganku kemas. Kami berjalan memasuki sebuah tempat yang kelihatan seperti sebuah pasar. Ramainya orang di situ. Bersesak-sesak. Dalam kesesakan aku terlepas dari pegangan tangan bapaku. Aku terpisah dari bapa. Aku memandang ke sekeliling. Aku mencarinya. Di suatu permulaan tangga bangunan terbina dari tanah aku melihatnya mula menaiki tangga tersebut. Aku berkejar kearah situ dalam kesesakan. Aku menapak menaiki tangga namun aku terlewat. Kelibatnya langsung aku tidak terlihat lagi. Aku panik. Aku risau. Bapa dimana keberadaan mu. Aku berlari menuruni tangga dan mencuba melihat keatas dari bawah dengan harapan aku boleh mencarinya. Namun hampa.

Aku kehilangan bapa. Jantungku berdegup kencang. Aku tidak tenteram. Aku tertunduk lemah.

Aku hampir menangis apabila aku merasakan tiba-tiba tangan kiriku dipegang kemas oleh tangan yang besar sedikit dari tanganku. Seperti suatu renjatan kesenangan dan ketenangan yang ku terima mengalir dari tangan itu mengalir terus ke jiwa dan hati yang risau. Pantas aku mengangkat kepala dan melihat ke kiri. Lelaki berpakaian putih bercahaya namun wajahnya tidak kelihatan sedang memegang tanganku kejap secara lembut membimbingku keluar dari kesesakan manusia. Kesesakan beransur menghilang. Persekitaran semakin mencerah. Langkahku seiring dengan dia yang membimbing sepanjang perjalanan. Kehairanan bertamu di fikiran. Siapakah orang ini? Mengapa aku menurut sahaja langkahnya? Bagaimana dan dimana pula bapaku yang telah menghilang dikesesakan tadinya?

Pada masa yang sama. Kerisauan dan kegalauan ku hilang semerta. Damainya jiwa ku rasakan. Demi sahaja aku memandang ke hadapanku semula. Aku melihat rumput padang yang hijau. Jiwaku semakin tenang melihat semua itu. Saat aku melihat ke kiri lagi…..

******************************************************************

Aku membuka mataku. Aliran ketenangan yang ku alami tadi masih terasa. Aku terasa senang. Jiwaku damai. Apakah erti mimpi ku tadi. Aku keluar dari kamarku. Melihat keluargaku sedang minum pagi. Keceriaan kembali menyinari. Aku tersenyum. Senang melihat semua itu.

Bagaikan bisikan aku mendengar, “Usahlah resah, Aku akan sentiasa ada untuk melindungi dan menjaga.”

Maka fahamlah aku apa yang aku alami sebentar tadi. Dia yang berkuasa telah hadir ke setiap kami memberi kedamaian.


Syukur kepada Allah.

No comments:

Post a Comment