Petang itu. Bunyi televisyen mengisi suasana
rumah. Rancangan yang diminati ditonton oleh ku. Kakak ku sibuk dengan komputer
ribanya. Tenang rasanya petang itu. Bersenang rehat sambil minum kopi yang
masih panas.
Jam menunjukkan hampir ke jam 6 petang. Telefon
rumah berdering. Kakak ku segera menjawab. Suara pemanggil
kedengaran. Namun samar pada pendengaranku.
Selesai bercakap. Kakak ku sambil tangannya menggapai kunci
kereta serta telefon bimbitnya memberitahu ku bapaku kemalangan dalam
perjalanan pulang ke rumah dan kakak ku meminta ku mencari ibu ku yang berada
di rumah jiran untuk memberitahunya perihal itu.
Aku panik. Tidak keruan.
Perumahan teres yang mempunyai dua blok sahaja membolehkan aku
mencari ibu ku dengan mudah. Kedengaran suaranya berbual dengan jiran. Aku
segera menuju kearah suaranya. Sebaik melihat ibu ku aku terus memaklumkan ibu
ku. Kami segera kembali ke rumah. Ibu ku sudah tidak senang duduk. Lilin di
altar rumah dinyalakan. Satu doa memohon keselamatan dan penyelamatan dilafazkan
berulangkali.
Telefon berbunyi sekali lagi. Segeraku menjawab. Kakak ku di hujung
talian. Memesanku untuk menyediakan kamera. Dia akan sampai ke rumah sebentar
lagi. Aku menurut sahaja tidak mengetahui mengapa.
5 ke 8 minit kemudian kakak ku sampai. Segera aku dan ibu ku masuk
ke perut kereta. Destinasi yang pasti adalah tempat bapa ku kemalangan.
Sesampainya di sana
hari semakin gelap. Kawasan kemalangan dikerumuni manusia. Aku tidak melihat
bapa ku. Ini membuatku semakin resah.
Ibuku melemah. Segera aku merangkul tangan dan pinggangnya.
Mengiringinya mencari bapa ku. Kakak ku hilang di celah ramainya orang membawa
kamera bersama.
Aku melihat dua orang lelaki berpakaian polis menjalankan siasatan.
Wartawan akhbar yang berbangsa cina juga hadir sedang mengambil kenyataan dari
mereka yang menjadi saksi sambil mengambil gambar keadaan kereta dari pelbagai
sudut.
Semakin kami mendekat aku terlihat kelibat bapa ku di tengah-tengah
kerumunan orang. Sedang mengambil gambar menggunakan telefon bimbit Nokia lama
nya. Aku melihat bapa ku dalam keadaan baik-baik sahaja. Tiada tempang, tiada
luka, tiada darah. Aku bersyukur.
Sebaik sahaja mataku melihat keadaan kereta yang dipandu bapaku
tubuhku terasa bergegar kuat. Lututku melemah. Namun aku harus kuat demi
menyokong tubuh ibuku terasa sudah lemah tidak mampu berdiri. Sambil menahan
sebak aku mengajak ibu ku kearah bapa ku. Menemukan mereka berdua. Ibu ku mula
mengalirkan air mata. Melihat keadaan kereta yang dipandu bapaku. Perodua
Kembara milik syarikat bapa ku bekerja.
*Kembara itu rebah ke jalan diantara persimpangan empat laluan ke
lapangan terbang. Cermin sebelah pemandu pecah. Cermin sisi patah. Bapa ku
memanjat keluar dari kereta melalui pintu sebelah pemandu tanpa sebarang
kecederaan.
Kereta yang melanggarnya, Myvi berwarna merah tersasar dari jalan
dan melanggar lampu trafik. Keadaannya teruk sekali. Bahagian depan kereta
merah itu langsung hancur mujur tidak terbakar. Pemandu kereta merah tersebut
kelihatan marah-marah sedangkan yang bersalah adalah dia sendiri. Namun aku
faham mengapa. Penumpangnya adalah isterinya sendiri yang sedang mengandung
entah berapa bulan.
Syukur tiada kemalangan jiwa.
Malam itu kami semua tidak seceria seperti biasanya. Hambatan
kejutan menerima berita petang tadi masih terkesan di hati masing-masing.
Kerisauan keatas bapaku masih menyelubungi jiwa. Doa syukur bergema di hati
masing-masing. Tidur tidak lena. Namun dalam kegelisahan tersebut akhirnya
semua melenakan diri dengan harapan perkara sebegini tidak terjadi lagi.
Syukur kepada yang Maha Kuasa atas lindungan yang diberi kepada
bapaku ucapku dalam lena.
******************************************************************
Aku berada disuatu tempat. Melihat ke kananku, aku melihat bapaku.
Dia memegang tanganku kemas. Kami berjalan memasuki sebuah tempat yang
kelihatan seperti sebuah pasar. Ramainya orang di situ. Bersesak-sesak. Dalam
kesesakan aku terlepas dari pegangan tangan bapaku. Aku terpisah dari bapa. Aku
memandang ke sekeliling. Aku mencarinya. Di suatu permulaan tangga bangunan
terbina dari tanah aku melihatnya mula menaiki tangga tersebut. Aku berkejar
kearah situ dalam kesesakan. Aku menapak menaiki tangga namun aku terlewat.
Kelibatnya langsung aku tidak terlihat lagi. Aku panik. Aku risau. Bapa dimana
keberadaan mu. Aku berlari menuruni tangga dan mencuba melihat keatas dari
bawah dengan harapan aku boleh mencarinya. Namun hampa.
Aku kehilangan bapa. Jantungku berdegup kencang. Aku tidak tenteram.
Aku tertunduk lemah.
Aku hampir menangis apabila aku merasakan tiba-tiba tangan kiriku
dipegang kemas oleh tangan yang besar sedikit dari tanganku. Seperti suatu
renjatan kesenangan dan ketenangan yang ku terima mengalir dari tangan itu
mengalir terus ke jiwa dan hati yang risau. Pantas aku mengangkat kepala dan
melihat ke kiri. Lelaki berpakaian putih bercahaya namun wajahnya tidak kelihatan
sedang memegang tanganku kejap secara lembut membimbingku keluar dari kesesakan
manusia. Kesesakan beransur menghilang. Persekitaran semakin mencerah.
Langkahku seiring dengan dia yang membimbing sepanjang perjalanan. Kehairanan
bertamu di fikiran. Siapakah orang ini? Mengapa aku menurut sahaja langkahnya?
Bagaimana dan dimana pula bapaku yang telah menghilang dikesesakan tadinya?
Pada masa yang sama. Kerisauan dan kegalauan ku hilang semerta.
Damainya jiwa ku rasakan. Demi sahaja aku memandang ke hadapanku semula. Aku
melihat rumput padang yang hijau. Jiwaku semakin tenang melihat semua itu. Saat
aku melihat ke kiri lagi…..
******************************************************************
Aku membuka mataku. Aliran ketenangan yang ku alami tadi masih
terasa. Aku terasa senang. Jiwaku damai. Apakah erti mimpi ku tadi. Aku keluar
dari kamarku. Melihat keluargaku sedang minum pagi. Keceriaan kembali
menyinari. Aku tersenyum. Senang melihat semua itu.
Bagaikan bisikan aku mendengar, “Usahlah resah, Aku akan sentiasa
ada untuk melindungi dan menjaga.”
Maka fahamlah aku apa yang aku alami sebentar tadi. Dia yang
berkuasa telah hadir ke setiap kami memberi kedamaian.
Syukur kepada Allah.